WASPADA TERHADAP KEMARAHAN ORANG YANG SABAR

Kemarahan yang datang daripada orang yang suka marah, mudah melenting & bersikap baran sebenarnya tidaklah begitu menakutkan. Yang lebih menyeramkan & menakutkan adalah kemarahan yang datang daripada orang yang biasanya bersikap baik, sopan, beradab, & penyabar. Sebahagian orang yang penyabar & baik ni biasanya sukar untuk marah, akan tetapi bila mereka betul-betul marah, kemarahan meraka lebih merbahaya daripada orang yang bersikap baran.

Pepatah arab ada menyebutkan;

اتق شر الحليم إذا غضب
“Berwaspadalah terhadap keburukan (atau bahaya yang boleh didatangkan oleh) orang yang penyabar apabila dia marah.”

“Beware of the kind person when they gets angry”

Orang yang biasanya sangat sabar & baik, kebiasaannya mempunyai kemarahan yang mengerikan & merbahaya apabila dia benar-benar marah, kemarahannya boleh menjadi sangat besar dan membawa kesan yang tidak disangka

Nice people are the most dangerous when they get angry”.

Adapun begitu jauhilah sifat amarah & baran kerana ianya sikap yang tidak baik apalagi apabila ianya disalurkan pada perkara & tujuan yang tidak betul.

Tanda-tanda seseorang ada hasad dalam hati

Tanda-tanda seseorang ada hasad dalam hati:

1) Tidak suka melihat orang lain dapat nikmat atau kelebihan, walaupun nikmat itu langsung tidak mengurangkan apa-apa daripadanya.

2) Rasa sempit dada apabila melihat orang lain berjaya, gembira atau mendapat pujian.

3) Berangan/berharap supaya nikmat itu hilang dari orang tersebut, sama ada nikmat itu berpindah kepadanya atau hilang begitu saja.

4) Cenderung merendah-rendahkan kejayaan orang lain, seperti mencari-cari kekurangan untuk meredakan hatinya.

5) Sukar mengucapkan tahniah atau mendoakan kebaikan bila orang lain mendapat rezeki atau kelebihan.

6) Gembira apabila orang lain ditimpa musibah, meskipun sedikit

TIDAK BOLEH JAMAK DAN QASAR BAGI PERMUSAFIRAN YANG BERTUJUAN KEPADA PERKARA MAKSIAT

Jamak & Qasar merupakan rukhsah(keringanan) yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam bagi menunaikan solat dalam permusafiran. Namun, adakah keharusan rukhsah Jama’ & Qasar ini boleh digunakan bagi permusafiran yang bertujuan maksiat seperti bermusafir untuk pergi ke konsert yang mempunyai unsur maksiat?

Menurut Mazhab Al-Syafie Keharusan Rukhsah untuk melakukan Jamak & Qasar hanya terpakai untuk permusafiran yang bukan bertujuan kepada perkara maksiat, Adapun orang yang bermusafir bagi tujuan maksiat tidak boleh mengambil/menggunakan rukhsah Jamak & Qasar ini.

Perkara ini seperti yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin menyatakan bahawa:

ولا يترخص العاصي بسفره كآبق وناشزة

Maksudnya: Tidak boleh mengambil rukhsah orang yang bermaksiat dengan permusafirannya, seperti hamba yang lari daripada tuannya dan isteri yang nusyuz. [Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:45]

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin juga bahawa;

وَلَا يَتَرَخَّصُ فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ، وَالْمَرْأَةِ مِنَ الزَّوْجِ، وَالْغَرِيمِ مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى الْأَدَاءِ، وَالْمُسَافِرِ لِقَطْعِ الطَّرِيقِ أَوْ لِلزِّنَى أَوْ قَتْلِ الْبَرِيءِ.

Maksudnya: Tidak diberikan rukhsah pada permusafiran yang bersifat maksiat seperti seorang hamba yang lari daripada tuannya, isteri lari daripada suaminya, penghutang yang lari daripada pemiutang dalam keadaan dia mampu untuk menunaikannya, seorang yang bermusafir untuk tujuan merompak, berzina dan membunuh orang yang tidak berdosa.[Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:388]

Hal ini juga disebut berdasarkan kaedah Fiqhiyyah yang menyatakan bahawa:

الرُّخَصُ لَا تُنَاطُ بِالْمَعَاصِي

Maksudnya: Rukhsah(keringanan) tidak diberikan kepada perkara berkaitan maksiat.

Jadi berbalik kepada isu yang dibangkitkan berkenaan adakah boleh menggunakan rukhsah Jamak & Qasar untuk bermusafir ke Konsert?

Jawapanya adalah, jika konsert tersebut tidak berunsurkan maksiat, maka permusafiran tersebut dibolehkan & diharuskan untuk melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Adapun jika konsert itu mengandungi unsur-unsur maksiat seperti konsert yang  bercampur batas pergaulan antara lelaki dan perempuan & melalaikan maka permusafiran tersebut tidak boleh mengambil rukhsah untuk Jamak & Qasar dan solat perlu dilaksanakan secara sempurna.

وأَمَّا كَوْنُ السَّفَرِ مُبَاحًا فَمَعْنَاهُ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَعْصِيَةٍ، سَوَاءً كَانَ طَاعَةً أَوْ تِجَارَةً، وَلَا يَتَرَخَّصُ فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ
Maksudnya: Maksud sesuatu pemusafiran itu mestilah musafir yang diharuskan pada syarak bukan kerana(tujuan) maksiat, sama ada permusafiran dalam perkara ketaatan atau perniagaan. Bagi permusafiran bertujuan maksiat pula, tidak mendapat rukhsah(mengerjakan qasar) seperti seorang hamba melarikan diri daripada tuanya.
(Imam Nawawi dalam Raudhah al-Talibin).

والله أعلم.

JAGALAH AIB & MARUAH PASANGAN

Baru-baru ini tular di media sosial tentang pasangan suami isteri yang bergaduh di tempat awam. Ramai yang menonton, ada yang merakam, ada yang menyebarkan, dan tak kurang yang mengadili tanpa tahu hujung pangkal.

Sebagai umat Islam, kita perlu melihat isu ini dari sudut agama & ambil iktibar daripada apa yang berlaku ini. Rumahtangga adalah amanah Allah. Perselisihan itu biasa, tapi cara menguruskannya menunjukkan tahap iman dan akhlak seseorang.

Pertama, Islam mengajar kita menjaga aib pasangan, Dalam Islam, menjaga aib sesama suami isteri adalah suatu kewajipan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan keumuman hadis ini, Nabi SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah SWT. Terutamanya pada perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua pasangan seperti hal-hal istimta’ (keseronokan antara suami isteri). 

Ini menunjukkan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat terdapat beberapa keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya untuk berbuat demikian.

Bergaduh di khalayak ramai secara terbuka boleh mendedahkan kelemahan rumahtangga kepada umum dan mencemarkan maruah pasangan. Ini sangat bertentangan dengan adab Islam yang menganjurkan agar masalah diselesaikan secara hikmah tanpa membuka aib pasangan.

Kedua, kita disuruh menahan marah, menjaga emosi & kawalan diri.

Allah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 134:
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Iaitu orang-orang yang menginfaqkan hartanya, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain; Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Pasangan suami isteri dituntut untuk berlapang dada dan belajar mengawal emosi, terutama ketika berlaku perselisihan. Jika tidak mampu, ambil masa untuk bertenang daripada melontarkan kata-kata atau tindakan yang boleh membawa kemudaratan.

Ketiga, jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh. Baginda suami yang penuh kasih sayang. Tidak pernah mengasari isteri, walau ketika berselisih pendapat. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik sebagai seorang suami. Baginda tidak pernah mengasari isteri-isterinya walaupun ketika berlaku perselisihan. Perbezaan pendapat dalam rumahtangga adalah biasa, namun cara menyelesaikannya harus penuh hikmah dan kasih sayang.

Dan keempat, jangan jadikan media sosial sebagai tempat meluahkan masalah rumah tangga & jangan bergaduh di khalayak ramai, di tempat awam mahupun dalam live seperti di platform2 media sosial yang mana ianya boleh disaksikan ataupun dirakam oleh pihak lain

Apabila pergaduhan dirakam dan disebar, ia membuka ruang kepada netizen untuk “mengadili” tanpa mengetahui kisah sebenar. Ini boleh memburukkan lagi keadaan. Islam melarang menyebarkan keburukan orang lain, apatah lagi aib rumahtangga,
Islam mengajar kita menyembunyikan aib, bukan menyebarkannya.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
“Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslim yang lain, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Marilah kita sama-sama belajar daripada isu ini. Jangan cepat menghukum, tapi ambillah iktibar. Moga Allah pelihara rumah tangga kita semua dengan sakinah, mawaddah, dan rahmah.

TANDA JAUHNYA SESEORANG DARI ISLAM

Antara tanda jauhnya seseorang dari Islam ialah apabila dia mudah hairan & pelik dengan hukum-hukum Islam.

Sabda Rasulullah:

بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيباً، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيباً، فَطُوبى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam bermula sebagai asing (sesuatu yang dianggap asing dan ganjil). Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil.”
(HR Muslim)

Imam An-Nawawi Ketika menghuraikan hadith ini, menjelaskan bahawa mereka yang betul-betul berpegang kepada ajaran Islam akan dilihat asing dan semakin sedikit seperti mana permulaannya dahulu. Malah mereka dianggap aneh dan pelik, tidak selari dengan perkembangan semasa, malah dilihat kolot atau extreme.

PESANAN KHAS UNTUK MUSLIMAH

Ramai yang mampu mengenakan niqab pada Wajah , menyarungkan tudung labuh , handsock dan stokin . Namun terlupa untuk menanam sifat malu pada diri mereka . Tanpa sifat malu Wujudlah muslimah selfie , muslimah tiktok , muslimah buat makeup tutorial , muslimah yang tidak menjaga batas pergaulannya , muslimah yang buat video motivasi(sambil nak tunjuk comel/cantik) apa niat? Btol ke ikhlas? Jangan tipu diri sendiri . Sifat malu itu benteng pada diri untuk tidak melakukan perkara yang terlarang , malu untuk menayang diri , berbuat dosa dan melakukan perkara yang sia sia . Muslimah , seiring dengan memakai pakaian syarie , tanamlah sifat malu dalam diri kita .

JANGAN UPLOAD GAMBAR/PERKARA MAKSIAT?

“Ia dosa yang bersifat berjemaah atau berkumpulan, maknanya orang dalam gambar dapat dosa, orang yang UPLOAD dapat dosa, orang yang tengok dan orang yang tak tegur pun dapat dosa.

“Selagi tak dibuang, dosa akan berterusan biarpun individu itu sudah meninggal dunia. Saham dosa juga ada untuk mereka yang terlibat.

Antara perkara yang yang dimaksudkan contohnya; kita mengupload gambar or perkara yang mempunyai content-content berunsur maksiat, buka aurat, dan sebagainya. Antara contoh lain adalah apabila, kita(lelaki/wanita) mengupload gambar wanita yang boleh menjadi fitnah, perkara ini sering berlaku bagi kaum hawa, bilamana mereka upload gambar rakan yang tidak menutup aurat dengan sempurna dsb. Dosa itu menjadi dosa jariah tanpa disedari.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan & shahwat kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). -Ali Imran- 14

Pengenalan

Blog ini dibina bagi penulisan peribadi dan perkongsian ilmiah daripada saya, semoga kita semua mendapat manfaat, bertepatan dengan sabda Rasulullah;

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia

MOHD AMIRUL HAKIM